Nestle, Tetra Pak rai kerjasama pacu ekonomi kitaran di Malaysia

Sempena Hari Kitar Semula Negara, Nestlé dan Tetra Pak hari ini meraikan sebuah usaha sama yang berusia lebih sedekad lamanya melalui Projek CAREton, yang dirumus untuk memacu ekonomi kitaran dan alaf yang lebih lestari untuk Malaysia.

Acara itu diserikan lagi dengan penglibatan tiga badan majlis tempatan yang baharu iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Bandaraya Ipoh bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan bagi merasmikan peristiwa penting ini dan ia disaksikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Kor Ming berkata, Hari Kitar Semula adalah hari untuk kita menyedari kepentingan kitar semula dan merenung langkah-langkah yang kita boleh ambil secara kolektif untuk melindungi bumi.

“Projek CAREton ini adalah contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menerajui inisiatif kelestarian dan bekerjasama dengan pihak Kerajaan untuk mewujudkan sebuah program yang efektif.

“Kami teruja menyaksikan perkembangan Projek CAREton yang telah berjaya meningkatkan pembabitan lebih ramai rakyat Malaysia dalam usaha kami untuk memangkin Malaysia beralih kepada ekonomi kitaran, sejajar dengan konsep Ekonomi Madani,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek CAREton adalah sebuah usaha sama antara Nestlé Malaysia, Tetra Pak dan badan-badan majlis tempatan untuk mengumpul dan mengitar semula pek minuman terpakai. Projek tersebut telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan usaha pengitaran semula dan menggalakkan pengguna untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini.

Sejak 2012, Projek CAREton telah berjaya mengumpul lebih 4,000 tan pek minuman terpakai, yang telah dikitar semula dan dijadikan papan panel PolyAl serta genting atap yang telah digunakan untuk pembinaan lebih 1,400 buah rumah untuk masyarakat Orang Asli di Malaysia. Jumlah ini bersamaan dengan lebih daripada 283 juta pek minuman.

-NIAGATIMES

Nestle-Tetra-Pax-2.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.