Bersempena dengan majlis pelancaran pelitup separuh muka Edisi Hari Raya, jenama tempatan Neutrovis melancarkan kempen ‘Mask On, Spread Hope’ bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka demi menjaga diri mereka dan orang tersayang semasa menyambut bulan Ramadhan dan persiapan untuk Hari Raya Aidifitri.
Neutrovis dalam kenyataan berkata, pihaknya beraspirasi melalui kempen ini untuk menjadi simbol harapan kepada rakyat Malaysia agar bersatu dalam menangani pandemik ini dengan vaksinasi, penjarakan sosial dan yang paling utama, memakai pelitup separuh muka yang efektif.
“Ianya juga amat penting untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan keluarga serta sahabat handai semasa aktiviti ziarah-menziarahi bersempena bulan Ramadan.
“Selain itu, kempen ‘Mask On, Spread Hope’ ini juga bertujuan untuk mendidik orang awam tentang kepentingan memilih pelitup separuh muka yang tepat dan perbezaan di antara pelitup separuh muka pakai buang dan pelitup separuh muka perubatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya dimandatkan untuk memberi peringatan kepada orang awam menjelang Hari Raya ini, supaya patuh dan bertanggungjawab dengan menggunakan pelitup separuh muka perubatan yang efektif pada setiap masa terutamanya kepada pusat-pusat membeli belah, pekerja bahagian peruncitan dan para pengguna.
“Saya berharap, peringatan ini dapat memupuk persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat dengan memakai pelitup separuh muka dan memberi harapan demi menjaga keharmonian negara dan ekonomi.
“Hanya dengan kerjasama di antara semua pihak, kita dapat mengawal penularan pandemik ini.
“Pelitup separuh muka Hari Raya Neutrovis ini mengangkat semangat Hari Raya dengan warna dan corak bertemakan perayaan Aidilfitri,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, semalam.
-NIAGATIMES