Ninja Van Malaysia, syarikat logistik berdaya teknologi, melancarkan sebuah kertas putih yang mendedahkan cabaran dihadapi oleh para peniaga dalam operasi Perdagangan Sosial.
Dengan kerjasama firma penyelidikan pasaran Milieu Insight, sebanyak 600 peniaga Perdagangan Sosial di enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand, dan Vietnam yang telah ditinjau pada November 2023.
Menurut analisis hasil tinjauan oleh Ninja Van Group, peniaga Perdagangan Sosial menghadapi cabaran operasi yang sama seperti peniaga atas talian. Walau bagaimanapun, mereka juga perlu mengatasi sekurang-kurangnya dua rintangan tambahan yang unik kepada Perdagangan Sosial.
“Mencipta kandungan yang berkesan adalah salah satu daripadanya. Selain itu, mengejar algoritma platform yang sentiasa berubah dan sering sukar dijangka adalah salah satu lagi cabaran yang mereka hadapi.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Perdagangan Sosial tetap penting bagi peniaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Kajian mendapati bahawa secara purata, peniaga Perdagangan Sosial di Malaysia memberi tumpuan kepada tiga kategori produk iaitu Fesyen, Kesihatan dan Kesejahteraan, serta Makanan dan Minuman.
“Selain kajian kuantitatif yang dijalankan bersama Milieu Insight, kami juga berbincang dengan peniaga utama Perdagangan Sosial kami untuk mengetahui bagaimana mereka menangani cabaran-cabaran ini. Dengan menggabungkan cerapan dan penyelesaian ini ke dalam kertas putih, kami berharap dapat mempersiapkan peniaga untuk meneruskan Perdagangan Sosial dengan lebih cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Ninja Van Group, Winston Seow menambah, “Proses penemuan cabaran yang dihadapi peniaga Perdagangan Sosial tidak hanya membolehkan kami menambah baik alat-alat sedia ada kami, seperti rangkaian penyelesaian digital, tetapi juga membantu kami menambah alatan baru ke dalam kotak peralatan kami, seperti rangkaian penyelesaian pemasaran pelbagai saluran, bagi peniaga yang ingin berniaga dengan lebih baik.”
-NIAGATIMES