Nippon Paint Malaysia unjur pertumbuhan sektor pembinaan lebih stabil tahun ini

Pada separuh kedua tahun 2024, industri pembinaan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang mantap sebanyak 20 peratus, dan merupakan peningkatan yang kukuh berbanding tahun 2023 yang didorong oleh lonjakan dalam projek infrastruktur, pelaburan awam dan swasta serta pemulihan industri pelancongan.

Selaras dengan trend industri, Nippon Paint Malaysia Sdn Bhd menjangkakan pertumbuhan sektor pembinaan yang stabil pada tahun 2025, didorong oleh projek infrastruktur berskala besar, peningkatan pelaburan dalam kemudahan perindustrian dan permintaan yang semakin meningkat untuk bangunan kediaman.

Dasar kerajaan mengenai infrastruktur, pembuatan, pendigitalan dan kelestarian telah memberi kesan positif kepada sektor pembinaan Malaysia, seterusnya menarik pelaburan asing dan domestik.

Projek infrastruktur utama, seperti East Coast Rail Link (ECRL), Rapid Transit System (RTS) Link, Pan Borneo Highway dan pengembangan pusat data oleh gergasi teknologi global seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft dan Google, akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan sektor ini.

Di samping itu, peningkatan permintaan untuk rumah mampu milik, dirangsang oleh inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025, telah memacu pertumbuhan ketara dalam subsektor bangunan kediaman. Momentum ini dijangka berterusan sehingga tahun 2025 dan mewujudkan peluang berterusan untuk para pemaju dan peserta industri.

Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck berkata, pihaknya mendapati kewujudan peluang yang besar untuk menyokong kedua-dua inisiatif sektor kerajaan dan swasta, dengan tumpuan utama industri pada infrastruktur transformatif dan projek perindustrian.

“Kami kekal komited untuk mengukuhkan kerjasama dan mengembangkan jejak kami dalam bidang pengubahsuaian, perindustrian, infrastruktur dan kediaman dengan menawarkan penyelesaian sistem yang serasi untuk ketahanan jangka panjang, kecekapan dan prestasi yang dipertingkatkan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-KREDIT-FOTO-Nippon-Paint.jpg