Penyedia lengkap cat, Nippon Paint Malaysia Sdn. Bhd. (Nippon Paint), secara rasmi mengumumkan pemerolehan 100 peratus pegangan CMI Construction Material Industry Sdn. Bhd. (CMI) dan 85 peratus dalam CMI Marketing Sdn. Bhd. (CMIM).
Pemerolehan ini selaras dengan strategi global Nippon Paint untuk memperluaskan perniagaan berkaitan, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia Penyelesaian Lengkap Cat dan Pembinaan (Total Coating and Construction Solutions – TCCS).
Langkah ini mempertingkatkan usaha syarikat untuk menginovasi serta menawarkan penyelesaian bersesuaian, dari konkrit asas sehingga ke perincian permukaan, menerusi rangkaian penyelesaian yang inovatif dan merangkumi cat sehingga ke pengedap sealan, pelekat, pengisi binaan, bahan kalis air, penyediaan lantai dan bahan simen pra-campuran.
Ditubuhkan pada tahun 1997, CMI adalah sebuah pengilang yang bereputasi dan pengedar aditif bahan simen pra-campuran, lapisan skim coat, plaster, pelekat jubin, bahan kalis air dan mortar teknikal.
Nippon Paint berkata, menerusi langkah strategik ini, pihaknya dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya syarikat pertama di rantau ini yang menawarkan TCCS.
“Sebagai pengubah industri pembangunan dan pembinaan, kami kini mempunyai kelebihan daya saing yang memperluaskan sistem serasi menyeluruh untuk penyelesaian cat dan pembinaan bagi menghasilkan perincian dan perlindungan permukaan yang berkualiti tinggi, dari lantai ke bumbung dan segala di perantaraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nippon Paint percaya kebolehannya menawarkan TCCS adalah pada masa yang sesuai dengan industri pembangunan dan pembinaan yang kian menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
-NIAGATIMES