Noh Omar: Kebenaran rentas negeri peluang usahawan PMKS pulih perniagaan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung kebenaran untuk merentas negeri kepada ‘Keluarga Malaysia’ yang telah menerima vaksinasi lengkap tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MEDAC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman ini merupakan langkah yang terbaik dan peluang kepada rakyat terutamanya usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi memulihkan perniagaan mereka dan yang penting meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Ini kerana, terdapat sebanyak 37, 415 usahawan yang telah gulung tikar sepanjang tempoh pandemik ini. Daripada jumlah tersebut 26,007 adalah mikro dan bakinya 2,738 adalah PKS.

“Semua sektor perniagaan terutama sektor informal akan menerima ganjaran pendapatan setelah melalui fasa ‘First Close, Last to Open’ (FCLO),” katanya.

Sementara itu, Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya telah menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program-program di MEDAC serta 11 agensi bagi memastikan segala inisiatif dan pakej-pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan sampai kepada golongan usahawan PMKS yang terkesan.

“Penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan atau kadar bantuan serta geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

“Kumpulan fokus tersebut adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat Covid-19 seperti golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan, golongan asnaf serta usahawan yang menggunakan modal sendiri,” ujarnya.

Pada masa yang sama, MEDAC optimis pengumuman ini mampu memberi keseimbangan dalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal di samping turut dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-Noh-Omar.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.