Ketika ekonomi digital Asia Tenggara melonjak melebihi USD100 bilion dalam nilai e-dagang, Malaysia semakin menyerlah – bukan sahaja melalui teknologi, tetapi juga menerusi wanita-wanita yang membina masa depan perdagangan.
Syarikat teknologi keibubapaan, Nuren Group (Nuren) antara yang memacu dan kini bersedia untuk penyenaraian IPO di Nasdaq pada tahun 2026. Syarikat ini menerajui eksport digital untuk jenama tempatan, membuktikan bahawa gelombang seterusnya dalam pertumbuhan Asia Tenggara bukan sahaja atas talian – ia inklusif, boleh berkembang, dan dipacu wanita.
Menurut Google, Temasek dan Bain, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melebihi USD300 bilion menjelang 2030, dengan PKS yang dipimpin wanita bakal memainkan peranan penting dalam perkembangan ini.
Nuren baru-baru ini telah menghimpunkan pembuat dasar, pengasas PKS dan pemacu eksport untuk acara ‘Digital Export Day: Going Global with Nuren Group’, sebuah sidang separuh hari yang dianjurkan bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Masa depan perdagangan adalah digital dan tanpa sempadan – dan wanita bukan sekadar peserta, mereka adalah pemimpin.
“Kami sedang membina infrastruktur yang membolehkan jenama tempatan berkembang ke luar Malaysia dan bersaing secara yakin di peringkat serantau,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Petrina Goh.
Melalui platform seperti Motherhood.com.my, Mamahood.com.sg, Ibuencer.com, KelabMama.com, dan Motherhood Parenting SuperApp, Nuren Group menghubungkan lebih daripada 5 juta wanita dan keluarga di seluruh Asia Tenggara.
-NIAGATIMES






















































