Oldtown White Coffee (Oldtown) memulakan tahun 2023 dengan pelancaran cawangan terbaharunya di IOI City Mall, Putrajaya melalui pemilikan francaisi Bumiputera sekaligus menjadikan jumlah cawangannya di seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura, Hong Kong dan Filipina adalah melebihi 180 buah.
Perkembangan positif ini dilihat selari dengan usaha Oldtown yang menyokong hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada bumiputera daripada B40 dan M40 terutamanya melalui pemilikan francaisi.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kementeriannya akan terus memberi sokongan penuh kepada penglibatan masyarakat dalam sektor francais termasuk usahawan-usahawan yang ingin menaiktaraf perniagaaan kepada sistem francais.
โProgram-program promosi perniagaan francais di dalam dan luar negara juga akan terus dipergiatkan bagi menyokong penggiat dan para usahawan francais untuk mempromosikan perniagaan mereka dan bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,โ katanya pada Majlis Pelancaran Outlet Oldtown di IOI City Mall, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown, Dawn Liew berkata, pembukaan cawangan itu adalah sangat bermakna kerana ia merupakan antara bukti kejayaan usahawan francaisi bumiputera yang telah mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan cawangan Oldtown ketiga dalam tempoh empat bulan.
โCawangan Oldtown di IOI City Mall ini merupakan cawangan yang ketiga milik francaisi bumiputera termasuklah di Empire Mall serta Nu Sentral dan bakal membuka satu lagi cawangannya di Suria KLCC.
โKami sentiasa mengalu-alukan lebih ramai bumiputera untuk meneroka bidang keusahawanan francais dan diharapkan dengan penglibatan mereka dalam konsep perniagaan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,โ jelasnya.
-NIAGATIMES