Optimumkan penggunaan baja sisa organik jamin pulangan pendapatan lebih baik

OLEH: ZURAIDA KAMARUDDIN

Ekoran kenaikan harga baja yang mencecah sehingga 60% daripada jumlah kos pengeluaran minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin menggesa pengusaha ladang sawit, tanpa mengira saiz ladang, untuk mengoptimumkan penggunaan baja daripada sisa organik bagi menggantikan baja berasaskan kimia.

Selain dapat memberi pulangan kepada pengusaha ladang, penggunaan baja daripada sisa organik juga dilihat membantu dalam aspek keselamatan makanan, memandangkan pengeluaran makanan yang selamat adalah penting untuk melindungi pengguna di dalam negara, daripada bahaya penyakit bawaan makanan.

Hasrat ini juga selaras dengan saranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu usaha untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) semasa pengeluaran di ladang dan proses pasca pengeluaran penghasilan produk pertanian.

Bukan itu sahaja, Kementerian turut menggalakkan pengusaha ladang dan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dengan melaksanakan penanaman berselang.

Hal ini kerana, penanaman berselang diyakini boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan pengeluaran sawit.

KAEDAH SETEMPAT /INOVATIF

Penanaman kelapa sawit kini menghadapi kenaikan kos operasi antara 10% dan 15% berpunca daripada lonjakan dalam kos baja, buruh dan bahan api.

Memahami bahawa kenaikan harga baja minyak sawit merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan berpunca daripada tekanan inflasi dan konflik Rusia-Ukraine, penggunaan kaedah setempat untuk mengatasi kekurangan dan harga baja yang terlalu tinggi adalah lebih berkesan.

Antara kaedah inovatif ialah penghasilan baja bio menggunakan tempurung isirong sawit (PKS) -yang biasanya akan dibakar atau ditanam – melalui proses pirolisis untuk menghasilkan biochar PKS yang kemudiannya dirawat dengan biojisim lain seperti baja ayam untuk menghasilkan baja bio yang kemudiannya boleh digunakan sebagai baja untuk kelapa sawit.

Baru-baru ini, KPPK juga telah membuka permohonan untuk dua insentif iaitu Skim Pertanian Bersepadu Kelapa Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank-MPOB.

Di bawah ITa, pengusaha ladang kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar manakala mereka yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak menerima RM3,000 sehektar.

Insentif tanaman selingan ini bertujuan menggalakkan pemilik ladang mempelbagaikan sumber pendapatan mereka melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah mereka di samping meringankan kos pengeluaran akibat kenaikan harga baja.

Dalam keadaan kenaikan harga baja dan situasi semasa akibat tekanan inflasi dan peperangan di Ukaraine dan Rusia, pemain industri dan pekebun kecil perlu memikirkan langkah agresif bagi memastikan cabaran ini akan dapat diatasi dan seterusnya pulangan pendapatan hasil sawit tidak akan terkesan.

-NIAGATIMES

** Datuk Zuraida Kamaruddin adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)

GAMBAR-HIASAN.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.