Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 edisi Melaka mencatat pencapaian memberangsangkan apabila menjana nilai keseluruhan padanan perniagaan dan potensi pembiayaan berjumlah RM8.45 juta sepanjang penganjurannya selama tiga hari.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, program yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun itu turut menerima sambutan tinggi dengan kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung serta merekodkan jualan langsung produk usahawan sebanyak RM532,802.77.
“Daripada jumlah keseluruhan impak ekonomi yang dicapai, sebanyak RM6.4 juta diperoleh menerusi aktiviti padanan perniagaan melibatkan 72 sesi pertemuan yang disertai 25 usahawan berpotensi.
“Selain itu, sebanyak 55 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut memperoleh manfaat melalui sesi interaksi bersama institusi kewangan yang membuka peluang pembiayaan dengan anggaran nilai mencecah RM2.05 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Pencapaian tersebut dilihat memperkukuh peranan Karnival HPM sebagai platform yang menghimpunkan pemain industri, agensi sokongan dan komuniti usahawan dalam memperluaskan peluang pasaran serta akses kepada pembiayaan.
Susulan kejayaan penganjuran di Melaka, siri ketiga Karnival HPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Julai depan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang.
Karnival HPM merupakan antara inisiatif di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong bagi menyokong pelaksanaan misi strategik ABCD dalam memperkukuh pembangunan perusahaan tempatan.
Melalui pendekatan tersebut, karnival berkenaan berfungsi sebagai platform bersepadu yang membantu PMKS dan koperasi meningkatkan daya saing, memperluaskan jaringan kerjasama strategik serta meneroka peluang pertumbuhan perniagaan secara lebih mampan.
-NIAGATIMES




















































