Kerajaan Pahang melaksanakan sepenuhnya Sistem Perolehan Elektronik Pahang (ePPHG) sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan disiplin kewangan dalam pengurusan perolehan sektor awam negeri itu.
Pelaksanaan sistem berkenaan selaras dengan Pelan Digital Pahang 2021–2025 yang menyokong agenda pendigitalan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan operasi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta hasil tadbir urus yang lebih mampan.
Majlis pelancaran rasmi ePPHG diadakan semalam di AC Hotel by Marriott dan disempurnakan oleh Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Fadzilla Salleh, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CDC International Sdn Bhd, Putri Nurul Ida Yahya, serta pegawai kanan kerajaan negeri dan wakil agensi pelaksana.
ePPHG dibangunkan dan disenggara oleh CDC International Sdn Bhd menggunakan Sistem Perolehan Elektronik Dinamik (SPEED), yang turut digunakan oleh pelbagai badan berkanun dan institusi di seluruh negara bagi menyokong amalan perolehan berasaskan tadbir urus.
Sebelum ini, pengurusan perolehan kerajaan negeri berdepan cabaran termasuk proses yang tidak diseragamkan, kebergantungan kepada kaedah manual serta tahap pematuhan yang berbeza antara agensi.
Menerusi ePPHG, semua aktiviti perolehan disatukan dalam satu platform digital bersepadu, membolehkan kawalan, pemantauan serta kesiapsiagaan audit dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Fadzilla berkata pelaksanaan sistem itu turut menggunakan pendekatan inisiatif pembiayaan swasta (PFI), sekali gus membolehkan pembangunan ePPHG dilaksanakan tanpa peruntukan kewangan langsung daripada kerajaan negeri, selaras dengan prinsip pengurusan kewangan berhemah.
Beliau berkata ePPHG meliputi keseluruhan kitaran perolehan termasuk pembelian terus, sebut harga, tender, bidaan, pengurusan kontrak serta pentadbiran pembekal, dengan aliran kerja dan mekanisme kelulusan yang sejajar dengan dasar sedia ada.
Sistem itu juga menyediakan platform yang lebih telus dan inklusif kepada pembekal, termasuk perusahaan kecil dan vendor tempatan.
Putri Nurul Ida pula berkata ePPHG merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh tadbir urus melalui pendekatan berasaskan sistem, bukan sekadar pengenalan platform baharu.
Selepas berjaya melalui fasa perintis pada suku keempat 2025, ePPHG digunakan sepenuhnya oleh semua jabatan kerajaan negeri Pahang sejak Januari lalu, dengan semua urusan perolehan dan pendaftaran pembekal kini dilaksanakan secara digital.
Pelaksanaan ePPHG menggunakan sistem SPEED membuktikan keupayaan perolehan berasaskan sistem sebagai mekanisme tadbir urus jangka panjang yang menyokong pembangunan ekosistem perolehan awam yang mampan dan bersedia menghadapi masa depan.
-NIAGATIMES






















































