Aset digital melibatkan mata wang atau token seperti bitcoin, litecoin, peercoin dan stellar yang semakin diketahui umum akhir-akhir ini perlu penelitian yang rapi untuk diuruskan kerana urusan perdagangannya tidak memiliki asas sebagai rujukan.
Pakar ekonomi, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, urus niaga melibatkan aset digital adalah sesuatu yang sukar dikawal dan perlu bergantung kepada rasa yakin pihak yang terlibat.
“Semua orang akan bercakap tentang bagaimana teknologi blockchain memberikan begitu banyak ketelusan. Ketelusan untuk apa? Semuanya tentang keyakinan.
Jika anda yakin dengannya, harga akan naik. Sebaik sahaja anda berasa ragu-ragu, harga akan turun. Tidak ada asas yang terlibat dan anda perlu berfikir tentang sifat dan ciri produk ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Bank Dunia di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, kelmarin.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan garis panduan untuk mengawal selia penawaran dan perdagangan aset digital susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 yang mula berkuat kuasa pada Selasa lepas.