Pameran FDM ketengahkan teknologi, inovasi dan makanan mampan di Asia Tenggara

Cosmexposium Asia Pasifik bersama-sama Salon International de Iálimentation Network (SIAL) telah bekerjasama menganjurkan pameran perdagangan utama untuk industri makanan dan minuman yang buat pertama kalinya diadakan di Malaysia.

Bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pameran Food & Drinks Malaysia (FDM) selama tiga hari ini menampilkan 450 jenama tempatan dan antarabangsa daripada 22 buah negara bagi menerokai peluang dalam sektor makanan dan minuman, makanan laut dan perikanan, teknologi makanan dengan ciri khas dalam protein alternatif serta rempah ratus dan perasa serta makanan halal.

Pada masa yang sama, FDM dan SIAL turut menyediakan platform kepada pengunjung mengambil bahagian dalam inovasi dan trend makanan terkini, dan juga mendapatkan pandangan tentang rantaian nilai halal dan segmen yang berkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Cosmexposium Asia Pasifik, Elaine Chia berkata, penampilan sulung SIAL Network di Malaysia secara tidak langsung memeriahkan sektor perdagangan makanan yang rancak di negara ini dan di peringkat serantau.

“Dengan kedudukan ekonomi yang kukuh di Malaysia dan terkenal dengan budaya masakan yang kepelbagaian, edisi pertama FDM kami mengalu-alukan 450 jenama tempatan dan antarabangsa serta 10,000 pengunjung perdagangan dari 22 negara selama tiga hari, mempamerkan hasil yang terbaik dalam industri serta memupuk hubungan perniagaan yang berharga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIAL Network, Nicolas Trentesaux menekankan bahawa peranan pihaknya sebagai rangkaian antarabangsa dan hab perniagaan untuk pemain perdagangan F&B, menawarkan pandangan industri yang berharga dan memupuk hubungan yang signifikan dan bermakna dalam komunitinya.

“Melalui rangkaian pameran perdagangan kami, kami amat memahami dinamik pasaran makanan global dan risikan pasaran. Kami sangat mahir dalam mengesan trend dan membincangkan topik yang membentuk industri makanan.

“Untuk pameran FDM, kami telah bekerjasama dengan Kantar Malaysia untuk meneliti lebih lanjut trend-trend industri makanan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui data Food 360 2022,” ujarnya.

-NIAGATIMES

FDM.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.