Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia(MIRF) 2022 telah membuka pintu kepada pengunjung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula hari ini.
Ekspo selama hari anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) ini akan memberi fokus kepada tema ‘Mulakan Semula: Peruncitan dan Francais’ dengan menampilkan tiga dewan bersaiz lebih 22,000 meter persegi ruang lantai melalui penyertaan lebih 400 gerai pameran yang meliputi segenap lapisan industri runcit dan francais.
Beberapa jenama runcit dan francais terkemuka yang menyertai ekspo tahun ini adalah termasuk Marrybrown, Bask Bear Coffee, Ah Cheng Laksa, Vanilla Crepe, Laundrybar dan banyak lagi.
MRCA optimis bahawa ia boleh mengulangi kejayaan edisi lalu pada tahun 2019 yang telah berjaya menarik 350 gerai dan telah menjalankan transaksi urusniaga bernilai lebih RM80 juta dalam hasil perniagaan, di mana penganjur mensasarkan peningkatan angka tersebut kepada sehingga 10 hingga 12 peratus tahun ini.
Acara ini juga menampilkan syarikat asing dari lebih 10 negara, termasuk Korea Selatan, Singapura, Taiwan, India, Pakistan, Jepun, Cyprus dan Filipina, serta menyediakan satu bahagian khusus bagi mempromosikan produk Halal dalam usaha menyediakan platform untuk pemadanan perniagaan yang berkualiti.
Ini menandakan MIRF sebagai platform pertumbuhan untuk perniagaan runcit dan francais bukan sahaja bertumpu kepada perkembangan dari segi hasil tetapi juga dalam membentuk dan membina semula model perniagaan serta strategi inovasi baru selepas tempoh pandemik yang lalu.
MIRF 2022 bersedia untuk terus meningkatkan dorongan bagi menterjemahkan transaksi yang lebih besar dengan padanan perniagaan yang lebih baik dan penggunaan teknologi sebagai pilihan hibrid untuk berinteraksi dengan orang ramai, sejajar dengan empat tunjang utama MRCA iaitu makanan dan minuman (F&B), runcit, francais dan e-dagang.
-NIAGATIMES