Rich Legacy Resources (RLR) ditubuhkan pada pertengahan tahun 2021 bermula dengan aktiviti penjualan produk kesihatan berasaskan cendawan mekah yang mana merupakan produk sulung syarikat ini. Pada awal penubuhan RLR, syarikat hanya mempunyai empat orang staff sahaja. Sehingga kini telah berkembang seramai 15 orang staff.
Sebelum menubuhkan syarikat sendiri, Pengasasnya, Tengku Mazri mempunyai kelulusan dalam kejuruteraan awam dan berpengalaman bekerja sebagai pembantu jurutera dan pengurus projek selama lapan tahun. Dia seterusnya telah menceburi bidang perniagaan selama 14 tahun.
“Jadi dengan pengalaman dan ilmu perniagaan serta modal yang saya ada, saya membuat keputusan untuk menaik taraf kehidupan saya dengan menubuhkan syarikat saya sendiri iaitu Rich Legacy Resources,” ujarnya.
Syarikat RLR telah berkembang menjalankan penjualan produk kesihatan dan penjagaan diri ke seluruh negara termasuk luar negara (Selatan Thailand dan Singapura). Kemudian, tidak sampai satu tahun ditubuhkan syarikat ini juga telah mengeluarkan dua produk baru selepas produk sulung telah melambung tinggi di pasaran melalui penjualan daripada stokis, ejen dan ibu pejabat sendiri. Malah, syarikat RLR turt mempunyai stokis dan ejen yang berdaftar di seluruh Malaysia.
Antara produk yang telah dikeluarkan oleh syarikat ini dinamakan Jus Royal Kombucha, Royal Feminine Wash, Royal Massage Cream. Produk- produk dibawah syarikat ini telah berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kelulusan ini bermakna ia selamat digunakan oleh pengguna atau bakal pengguna produk RLR. Sehingga kini, syarikat ini turut mendapat maklum balas yang cukup positif dari aspek keberkesanan produk, servis penghantaran dan juga servis nasihat penjagaan diri melalui pekerja-pekerjanya.
Tengku Mazri berkongsi, antara pengalaman pahit yang telah dilalui oleh syarikatnya adalah ketika di awal penubuhan.
“Kami diuji apabila seluruh negara diumumkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu syarikat kami baru satu bulan beroperasi. Di samping itu, kilang bagi memproses produk- produk kami juga terpaksa ditutup selama tempoh PKP dijalankan yang menyebabkan stok di HQ terputus bekalan. Dan lebih memeritkan lagi pada masa itu, permintaan bagi produk kami amat tinggi.
“Pengalaman-pengalaman yang telah dilalui masih saya simpan untuk dijadikan pengajaran. Apa yang saya belajar dari pengalaman tersebut adalah kita sebagai usahawan perlu sentiasa bersiap sedia dan mencari inisiatif lain untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan. Pengalaman-pengalaman lepas juga saya jadikan sumber rujukan pada masa akan datang bagi menanganinya dengan mudah,” jelasnya.
Dalam tempoh syarikat sedang membangun, RLR telah mengambil beberapa langkah bagi bertahan dan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Antaranya ialah mengkaji dan mencari idea-idea baru bagi memberi lebih manfaat kepada pengguna-pengguna dengan cara menambah baik kualiti produk-produk serta servis-servis yang disediakan untuk pengguna termasuk khidmat nasihat.
“Apa yang pihak kami lakukan untuk bertahan dan berjaya hingga hari ini adalah jangan mudah mengalah atau berputus asa dalam apa jua rintangan yang datang. Sentiasa positif dalam apa jua keadaan dan yang paling penting kita perlu berada dalam kalangan yang positif bagi mendorong kita ke arah yang lebih baik dan bukan menjatuhkan,” kata Tengku Mazri.
Setelah berjaya pada peringkat permulaan, pihak Ahli Lembaga Pengarah RLR telah bermesyuarat dan bersetuju untuk syarikat meluaskan lagi bidang perniagaan. Perancangan kini, pihak Ahli Lembaga Pengarah ingin menceburi bidang perniagaan lain seperti membuka perniagaan perkhidmatan melalui dobi, inap desa, kedai gunting rambut dan juga ingin mengeluarkan beberapa produk lain.
Tengku Mazri menjelaskan, di samping ingin meluaskan bidang perniagaan, melalui perancangan ini, pihak syarikatnya juga berharap akan dapat membantu lebih ramai golongan-golongan penganggur yang memerlukan pekerjaan untuk diberi peluang berkerja di bawah syarikat Rich Legacy Resources.
“Jika peringkat kedua ini berjaya, pihak Ahli Lembaga Pengarah tidak teragak-agak untuk membuka cawangan-cawangan di seluruh Malaysia termasuk anak syarikat. Dengan meluaskan lagi cawangan-cawangan di seluruh negara, pihak syarikat berharap akan dapat mencari bakat-bakat baru untuk diasah dalam bidang perniagaan,” ujarnya.
Dengan visi dan misi syarikat ini untuk menjadi antara syarikat terbaik di Terengganu dan juga di seluruh Malaysia dalam membantu ramai golongan di luar sana berikhtiar untuk menyelesaikan masalah- masalah kesihatan yang dihadapi, Rich Legacy Resources berazam untuk melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan pada tahap yang terbaik dan juga sentiasa menjaga kualiti dan mutu produk-produk di bawah syarikat mereka.
-NIAGATIMES