Pandemik global tak halang Malaysia catat jumlah pelaburan RM164 bilion pada 2020

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited dalam memastikan Malaysia terus diposisikan sebagai lokasi yang mesra pelabur untuk pertumbuhan jangka panjang bagi perniagaan asing dan domestik meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut dibuktikan setelah negara berjaya mencatat sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun lalu.

“Pelaburan ini diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baru dalam pelbagai sektor ekonomi setelah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Jelas Azmin, terdapat penurunan berbanding jumlah 5,287 projek dengan pelaburan RM211.4 bilion pada tahun 2019 gara-gara faktor sektor perkhidmatan dan utama yang dipengaruhi oleh kemerosotan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada tahun 2020, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar dari jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan 60.9 peratus (RM99.8 bilion), sementara pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1 peratus).

“Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6.0 bilion,” katanya.

Ujarnya lagi, Republik Rakyat China (RM18.1 bilion), Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7.0 bilion) adalah tiga sumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang lebih daripada separuh (54.8 peratus) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun ini.

“Selangor (RM38.7 bilion) mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion).

“Lima negeri ini sahaja menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2020,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Pelaburan-Gambar-hiasan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.