OLEH: MOHD NOOR AZAM ATEH
Usahawan bazar raya yang dikasihi, saya coretkan beberapa pesanan hasil pengalaman saya menjadi penganjur dan menguruskan beribu vendor sepanjang 8 tahun.
(1) Jika baru berniaga bazar raya (sebelum ini tidak pernah), ini adalah pengalaman pertama. ‘Game’ bermain di bazar raya tak sama ‘game’ di pasar malam setiap minggu. Kita perlukan strategi ‘speed game’ untuk 30 hari sepanjang Ramadan.
(2) Walau kuasa beli tinggi sebab ada keperluan beraya, kita perlu ingat 2 tahun sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Segalanya berubah daripada sikap membeli pelanggan. Jimat, ala kadar, masih ada yang trauma tak dapat raya lagi tahun ini dan sebagainya.
Kita tak boleh berniaga sama macam biasa. Duduk menunggu, ‘post’ ke Facebook (FB) tapi mengharapkan orang setempat yang datang (dalam FB ramai orang dari luar negeri). Macam mana tu?
(3) Jika berniaga bazar raya terbuka, kebanyakan pembeli adalah golongan biasa (contohnya yang masih menunggu KWSP). Ada golongan lain yang sudah menempah awal, butik tertentu dan sebagainya.
(4) Bazar memang bermula 2 Ramadan (paling awal). Tapi ‘marketing’ kita perlu bermula setahun yang lalu. Kita sudah perkenalkan diri kita kepada orang dengan sertai skala kecil dan besar.
Masuk bazar, ‘car boot sale’ dan karnival. Bina nama jenama bisnes dahulu. Kalau baru nak cecah kaki niaga di bazar raya itu, waktu itu baru nak uar-uarkan…susah.
(5) Orang membeli dengan bisnes yang dipercayai. Ini dipanggil ‘buying experience’. Saya yakin mereka tetap akan pergi ke lokasi bazar raya yang sudah pernah mereka datang sebelum ini.
Tahu ‘parking’ di mana, berapa bayaran ‘parking’, laluan pejalan kaki, ada bazar berbuka tak, tandas, kedai apa ada (mudah kalau nak beli serentak baju isteri dan anak di situ).
(6) Aktiviti? Bagi saya dalam bazar raya orang tak fokus sangat apa aktiviti yang ada. Artis lah, ada ghazal lah, (pengisian acara yang sekadar hiburan).
Pelanggan mementingkan pengisian yang beri manfaat (diskaun, informasi produk peniaga, diskaun, ‘happy hour’, jualan ‘booth’ artis, cabutan bertuah). Buat yang ‘ringan-ringan’ saja.
(7) Bukan syarat tempat gempak, lokasi bagus, aktiviti menarik. Tetapi kekuatan vendor itu sendiri. Sebab itu ada penganjur sangat memilih siapa vendor mereka. Mahal ‘booth’ tak semestinya bagus. Murah pun ada yang bagus. Bergantung.
Saya pesan peniaga-peniaga saya dahulu berlumba buat aktiviti sendiri di ‘booth’. Pasang lagu. Biar meriah walau aneka lagu tersiar, meriah dengan ‘bunting’ sendiri, cabutan bertuah.
Jadi setiap ‘booth ada keunikan dan berlumba jadi yang terbaik.
Banyak lagi. Tapi cukuplah ini dahulu. Doa saya buat tuan dan puan, jadikan ini pengalaman dan jangan berhenti berputus asa.
Insya-Allah kita doa bersama.
-NIAGATIMES
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)