Isnin, 28 Ogos 2017 – Projek Pasarnita, satu tapak perniagaan tetap khusus untuk wanita
menjalankan perniagaan yang dirintis di negeri ini akan diperluaskan di Kuala Lumpur tidak
lama lagi. Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana
Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, projek kedua itu yang dijangka beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, platform niaga buat usahawan wanita memasarkan produk mereka akan terus
dikembangkan ke seluruh negara , dan beliau berharap mendapat kerjasama setiap kerajaan negeri. “Pasarnita sebenarnya berjalan di seluruh negara tetapi kita minta biar ada tapak kekal kerana wanita pasti suka apabila mereka ada lokasi tetap dalam mempromosi dan mengembangkan perniagaan,” katanya. Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Food Truck @ Pasarnita di Dataran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi
Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh. Juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Dr. Tengku Khairi A.Rahman dan Presiden Persatuan Usahawan Truck Terengganu (T-Trak), Dr.Norzila Tengah @ Abd. Rashid.

Program Food Truck @ Pasarnita anjuran kerajaan negeri dengan Pejabat Pembangunan
Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita serta Mara itu berlangsung selama tiga hari bermula
semalam dengan menampilkan 15 pengusaha trak makanan

Nama Pengarang: Rosalinda Md.Said
Sumber: http://www.utusan.com.my