PayNet & ALR galak pemandu guna MyDebit di KESAS, LDP, SMART dan SPRINT

Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) telah melancarkan kempen Sentuhan Ikhlas yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana setiap transaksi tol dengan MyDebit memberi peluang untuk membantu keluarga B40 di seluruh Malaysia.

Melalui inisiatif ini, pengguna Lebuhraya Kumpulan ALR – KESAS, LDP, SMART dan SPRINT kini boleh menyumbang dengan mudah di mana-mana 152 lorong tol MyDebit untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Bin Saidi, dalam ucapannya, berkongsi mekanisme Sentuhan Ikhlas yang menyumbang kepada kebaikan secara kolektif melalui transaksi tol harian.

“Setiap transaksi MyDebit di lebuhraya-lebuhraya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kempen ini mempunyai matlamat untuk menyumbang sejumlah RM500,000 kepada Yayasan MyKasih setelah mencapai 5 juta transaksi MyDebit dalam tempoh dua bulan.

Setiap pembayaran tol MyDebit yang dibuat di keempat-empat lebuhraya ini menyumbang kepada sasaran transaksi ini – di mana setiap kali pengguna membuat transaksi, PayNet akan menyumbang dana kepada Yayasan MyKasih.

Sumbangan RM500,000 ini akan membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia untuk membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui penggunaan MyKad mereka.

Dengan menyertai kempen Sentuhan Ikhlas, para pemandu bukan sahaja menyokong tujuan murni tetapi juga mendapat manfaat dengan kaedah pembayaran yang mudah dan selamat dengan menggunakan MyDebit di lebuhraya-lebuhraya ini.

-NIAGATIMES

Paynet-ALR.jpg