PayNet perkasa Pasar Malam N6 Metrocity sebagai pasar tanpa tunai terbesar di Sarawak

Bagi menghadapi masa depan bidang peruncitan, Payments Network Malaysia (PayNet) dan Persatuan Penjaja Petra Jaya (PPPJ) dengan sukacitanya mengumumkan peralihan inovatif Pasar Malam Belia N6 Metrocity untuk menjadi pasar malam tanpa tunai terbesar pertama di Sarawak.

Perkara ini sejajar dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kempen ‘e-Duit! Kempen Selamat, Senang, Segera’ untuk mempercepat penggunaan pembayaran elektronik (e-payment) di Malaysia.

Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersial, PayNet, melahirkan rasa kagum dengan kemajuan yang dicapai oleh para peniaga Pasar Malam Belia N6 Metrocity dalam peralihan mereka kepada pasaran tanpa tunai sepenuhnya, sekaligus membuktikan kebolehsuaian dan pemikiran berwawasan mereka.

Beliau berkata, kesanggupan mereka untuk menerima teknologi baharu bukan sahaja memodenkan pasaran tradisional, tetapi juga menetapkan penanda aras untuk orang lain.

“Berikutan jalinan kerjasama yang berjaya dengan RHB dan Agrobank dalam inisiatif yang sama, PayNet terus memperjuangkan mandat agresif Kerajaan Sarawak dalam ekonomi digital seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

“Sambutan yang menggalakkan daripada peniaga di Pasar Malam Belia N6 Metrocity menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap e-pembayaran, dan kempen ini adalah penting dalam meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terletak di pusat Sarawak, Pasar Malam Belia N6 Metrocity merupakan hab aktiviti yang sibuk mulai jam 4 petang hingga 12 tengah malam setiap Rabu hingga Sabtu, menarik lebih 2,000 pengunjung setiap hari, termasuk sejumlah besar pelancong.

Apa yang membezakan pasar malam ini adalah semangat perintisnya di mana 84 peratus daripada 200 peniaga di sini telah menerima transaksi tanpa tunai sejak awal November 2023. Inisiatif yang dilaksanakan ini disokong oleh penyedia pembayaran digital terkemuka Maybank, Bank Islam, TNG Digital, Fasspay, S Pay Global (dahulunya dikenali sebagai Sarawak Pay), dengan kerjasama PayNet dan disokong oleh BNM.

-NIAGATIMES

PayNet-Empowers-Pasar-Malam-Belia-N6-Metrocity.jpeg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.