Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) telah melancarkan projek loji melamina di kompleks Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd (PCFK), baru-baru ini.
Loji ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2024 dengan kapasiti sebanyak 60,000 tan setahun, menjadikan PCG sebagai pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.
Pelancaran projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Berucap di majlis pelancaran, beliau berkata, anak syarikat milik penuh PCG iaitu PCFK yang beroperasi sejak tahun 1999 telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi di negeri Kedah.
โAdalah menjadi harapan saya loji melamina ini akan mengukuhkan lagi kawasan ini sebagai zon pengeluar bahan kimia bertaraf antarabangsa di rantau Asia Pasifik,โ ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, sebagai pengeluar tunggal melamina di rantau ini, pihaknya boleh memenuhi permintaan pasaran tempatan dan juga pasaran serantau, yang kini merupakan pengimport bersih melamina.
โMemandangkan permintaan yang kukuh dalam pasaran baru Asia Tenggara, kami yakin pelaburan ini akan terus menyumbang kepada pembangunan PCG,โ katanya.
Projek ini menunjukkan komitmen yang tinggi dari PCG untuk memenuhi permintaan terhadap produk berkualiti tinggi yang kian meningkat, terutamanya dalam industri pembangunan dan perumahan selari dengan peningkatan populasi.
Melamina mempunyai pelbagai ciri berguna seperti kalis api, penyerap bunyi, dan juga sifat rintangan terhadap hakisan, kesan kotoran dan kelembapan. Ini membolehkan ia digunakan untuk pelbagai aplikasi seperti aplikasi lamina, pelekat kayu, sebatian acuan, salutan permukaan, kertas dan industri tekstil.
-NIAGATIMES