Pelan 10 perkara KUSKOP tingkat akses pembiayaan dan daya tahan PMKS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan pelan tindakan 10 perkara bagi memperkukuh sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui kerjasama strategik dengan sektor perbankan.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata pelan tersebut dibentangkan dalam sesi libat urus bersama wakil pengurusan tertinggi daripada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), yang menghimpunkan pemain utama industri kewangan negara.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan meningkatkan penyelarasan antara kerajaan dan institusi kewangan dalam membantu PMKS berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos, khususnya berkaitan tenaga.

“Antara fokus utama ialah memastikan akses berterusan kepada pembiayaan modal kerja memandangkan sebahagian besar pinjaman PMKS digunakan untuk keperluan operasi harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, pelan berkenaan turut menekankan keperluan penggunaan kriteria penilaian pembiayaan yang lebih inklusif, di samping mempercepat proses kelulusan pinjaman agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih cekap.

KUSKOP juga mencadangkan peningkatan fleksibiliti kepada peminjam melalui penstrukturan semula pembayaran balik, termasuk pelaksanaan moratorium secara bersasar bagi membantu perniagaan yang terkesan.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan, kerjasama antara bank perdagangan, institusi kewangan pembangunan serta agensi berkaitan akan dipertingkat melalui pendekatan pembiayaan bersepadu.

Pendekatan ‘no wrong door’ turut diperkenalkan bagi memastikan PMKS dirujuk kepada institusi kewangan lain sekiranya produk yang bersesuaian tidak ditawarkan oleh bank asal.

Di samping itu, penekanan juga diberikan kepada program pembangunan kapasiti, promosi produk kewangan khusus PMKS, serta kerjasama dengan SME Corp. Malaysia bagi meningkatkan nilai akreditasi perniagaan.

Pelaksanaan inisiatif PowerUp10k pula dijangka mempercepat usaha penskalaan perniagaan tempatan.

Steven Sim turut merakamkan penghargaan kepada pihak bank atas komitmen dan maklum balas positif terhadap cadangan yang dikemukakan, sambil menegaskan kepentingan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak dalam memperkukuh sektor PMKS.

Beliau berkata sinergi berterusan antara kerajaan dan institusi kewangan adalah penting bagi memastikan perniagaan tempatan kekal berdaya tahan, kompetitif dan bersedia untuk berkembang walaupun berdepan cabaran global.

Sesi libat urus itu turut disertai tokoh industri perbankan termasuk wakil daripada Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad, serta beberapa bank tempatan dan antarabangsa lain.

Turut hadir wakil agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, SME Bank dan TEKUN Nasional dalam pertemuan yang berlangsung di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpeg