Pelancong Thai kini boleh guna DuitNow QR melalui Boost di Malaysia

Syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata, Boost dan infrastruktur rangkaian pembayaran runcit nasional, Payments Network Malaysia (PayNet), baru-baru ini mengumumkan bahawa peniaga Boost di Malaysia kini boleh menerima bayaran rentas sempadan daripada pelancong Thailand melalui DuitNow QR.

Ciri baharu ini menjadikannya lebih mudah untuk pelancong membuat bayaran tanpa tunai di negara ini dengan eDompet mereka sendiri.

Para pelancong akan hanya perlu mengimbas kod Boost DuitNow QR, kemudian menerima permintaan untuk memasukkan amaun belian mereka dalam nilai Ringgit Malaysia (MYR). Penukaran automatik kemudiannya akan ditolak daripada eDompet negara mereka.

Dalam fasa pertama, kemudahan ini kini tersedia untuk pelancong Thai melalui aplikasi bayaran mudah alih institusi kewangan yang mengambil bahagian daripada CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha menginovasi penyelesaian pembayaran digital untuk memberi manfaat kepada peniaga dan menyediakan pilihan pembayaran yang dipermudah untuk pembeli belah tempatan.

“Hari ini, kami teruja untuk menawarkan pilihan ini kepada pelancong serantau melalui kolaborasi kami bersama rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet yang luas.

“Tawaran baharu dalam pasaran ini akan menyediakan peniaga kami dengan kelebihan untuk meluaskan jaringan pelanggan mereka, sementara pelancong pula boleh menikmati transaksi yang dipermudah dalam mata wang mereka sendiri.

“Kami menyasarkan untuk menyertakan penerimaan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura berserta wilayah-wilayah lain dalam liputan PayNet beberapa bulan akan datang,” jelasnya.

Hampir 200,000 peniaga Boost DuitNow QR boleh ditemui dengan mudah di tempat berkunjung pelancong popular di sekitar Malaysia seperti di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, antaranya.

-NIAGATIMES

Boost-Thai-Malaysia.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.