Sebanyak 139 syarikat berjaya diserap ke dalam program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) antara Ogos 2020 dan Julai 2021 setelah pemilihan daripada lebih 500 permohonan lengkap pelbagai jenis syarikat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan pembiayaan, sokongan teknikal serta pengkomersialan dilakukan.
NTIS berkata, peruntukan sebanyak RM52.78 juta telah diluluskan untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
“Sementara, 69 syarikat yang lain juga turut mendapat sokongan teknikal, pengawal seliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti MOSTI untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Enam sasaran telah ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025.
“Adalah penting untuk produk dan penyelesaian inovasi yang membawa impak serta menepati permintaan pengguna dibawa keluar dari makmal dan diperkenalkan melalui pemecutan kemasukan ke pasaran,” ujarnya.
NTIS merupakan suatu inisiatif MOSTI di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Terdapat empat Sandbox Inovasi NTIS iaitu di Sandbox Pertanian di FELDA Mempaga, Pahang; Sandbox Robotik dan Automasi di Zon Dron dan Robotik Iskandar; Sandbox Logistik untuk dron penghantaran urban di Cyberjaya dan Area 57 iaitu pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil.
Objektif utama NTIS adalah untuk memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi (tech startup) melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi, sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan (seeding fund) sebagai persediaan memasuki pasaran yang lebih besar dan berdaya saing.
-NIAGATIMES