Pembiayaan SME Bank meningkat 19 peratus, sokong sektor strategik negara

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) meluluskan pembiayaan berjumlah kira-kira RM4.3 bilion sepanjang tahun 2025, mencatatkan peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya dalam usaha memperkukuh pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata daripada jumlah itu, sekitar RM3.8 bilion telah disalurkan kepada PMKS, menunjukkan peningkatan hampir 20 peratus berbanding 2024.

Beliau berkata, majoriti penerima pembiayaan terdiri daripada usahawan berskala kecil, dengan lebih 60 peratus pelanggan menerima pembiayaan RM1 juta dan ke bawah, sekali gus mencerminkan komitmen bank dalam memperluas akses kewangan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Prestasi ini mengukuhkan peranan SME Bank sebagai institusi kewangan pembangunan yang menyokong ekosistem PMKS, selaras dengan keutamaan nasional termasuk pembangunan Bumiputera, teknologi dan inovasi, pendigitalan serta inisiatif berkaitan kelestarian dan industri halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, keyakinan kerajaan terhadap peranan SME Bank turut dizahirkan melalui peruntukan hampir RM2 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi mempercepat pertumbuhan inklusif dan meningkatkan daya tahan perusahaan.

Selain pembiayaan, SME Bank turut menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat kepada usahawan. Sepanjang tahun lalu, lebih 14,500 usahawan mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan, sosial dan keterangkuman kewangan yang dilaksanakan.

Sumbangan sektor PMKS yang kini menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih RM650 bilion, terus menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan peningkatan daya tahan negara.

Dalam pada itu, SME Bank terus mempergiat pelbagai inisiatif strategik termasuk program pemecut eksport, penyelesaian kewangan sosial serta pembangunan kapasiti bagi meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.

Usaha ini turut merangkumi sokongan terhadap pengembangan industri halal melalui pematuhan piawaian pensijilan dan penglibatan dalam rantaian nilai global, selain memperluas akses pasaran menerusi platform padanan perniagaan antarabangsa.

Keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka terus memperkukuh ekosistem PMKS melalui pertumbuhan mampan, peningkatan produktiviti serta penciptaan nilai tambah kepada ekonomi negara.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN-kredit-SME-Bank.jpg