Pemimpin perniagaan global desak Presiden AS percepat usaha vaksin sedunia

Sekumpulan 16 pemimpin perniagaan dan dasar antarabangsa telah menerbitkan sepucuk surat terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joseph R. Biden dengan menggesa beliau untuk menunjukkan kepimpinan AS yang tegas bagi memerangi wabak Covid-19 yang semakin serius di Amerika Latin, Eropah dan Asia.

Surat terbuka itu berkata, situasi terkini penyebaran berleluasa bagi virus Covid-19 di tempat-tempat seperti India dan Filipina memungkinkan terjadinya mutasi yang akan menular secara global jika ia tidak disekat dan dibantu oleh pihak AS.

“AS harus bertindak sekarang untuk memanfaatkan pengeluaran vaksin domestik AS yang semakin meningkat dengan pesat, mengeksport lebihan bekalan kita yang semakin besar, dan berusaha untuk menangani cabaran teknikal dan logistik yang besar untuk pengembangan vaksin pada skala global,” katanya, semalam.

Kenyataan di dalam surat itu turut menolak pengecualian harta intelek yang dipromosikan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia, dengan menyatakan bahawa langkah itu tidak akan membuat sebarang perbezaan dan mendatangkan lebih banyak keburukan dengan tidak mempertimbangkan langkah-langkah yang diperlukan untuk pembuatan vaksin dengan selamat.

Antara pemimpin perniagaan antarabangsa yang mewakili suara di dalam surat terbuka berkenaan ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi C. V. Starr & Co Inc, Maurice R. Greenberg; Pengerusi bagi Lembaga Pemegang Amanah bagi NYU Langone Health, Ken Langone; wakil Dewan Perniagaan Amerika Syarikat; Suzanne Clarke dan wakil Majlis Perniagaan ASEAN Amerika Syarikat, Alexander Feldman.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.