Penjenamaan semula – dahulu PNS kini PERNAS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad, yang melibatkan pertukaran akronim dan logo dari PNS kepada PERNAS, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan PERNAS dalam industri francais seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi-organisasi kerajaan yang lain.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain perniagaan francais, PERNAS juga membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais.

“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.

“Saya amat yakin , ia dapat mencapai sasaran MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PERNAS, Datuk Zakaria Mohd Edris menyatakan sejak tahun 2004 sehingga kini, PERNAS telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih dari 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini, PERNAS akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan.

“Ini termasuklah pelancaran dua projek terbaharu iaitu Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” jelasnya.

Industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2019.

Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara.

Penjenamaan semula PNS memperkenalkan logo dan warna baharu yang lebih moden dan segar yang melambangkan sokongan yang diberikan PERNAS melalui usaha memperkasakan usahawan.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.