Penyelidik MPOB cipta jentera pemungut buah bantu industri sawit

Sekumpulan penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid telah mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian untuk industri sawit yang bergantung pada kaedah manual dalam mengutip buah sawit relai di ladang.

“Teknologi ini mengubah cara memungut buah sawit relai secara konvensional di mana buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg.

“Kaedah ini bukan sahaja menuntut tenaga kerja dan memakan masa tetapi membebankan. Tambahan pula, pekerja perlu membongkok untuk memungut buah sawit relai sepanjang hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Parveez, MPOB telah menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn Bhd untuk pengkomersialan teknologi tersebut yang dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja.

“Syarikat ini juga telah diluluskan untuk menerima dana pengkomersialan melalui Program Dana Mekanisasi Sawit.

“Aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi yang sesuai dan efisien telah dimulakan pada tahun 2012. Sepanjang tempoh ini, beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit.

“Ujian menunjukkan bahawa secara puratanya, jentera yang dicipta MPOB ini mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 dan 5.1 kilogram per minit atau 1200 hingga 1500 kg sehari dengan kandungan sampah kurang dari 15 peratus. Buah sawit relai tidak rosak semasa operasi,” jelasnya.

Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB ini boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini. Dengan menggunakan konsep siklon, buah sawit relai akan disedut ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong. Konsep ini juga mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap.

-NIAGATIMES

Inovasi-jentera-sawit-MPOB.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.