Rakyat Malaysia semakin menggemari percutian dalam negara, dengan data Airbnb mendedahkan bahawa Malaysia merupakan negara paling dikunjungi oleh tetamu Airbnb tempatan pada 2024.
Trend ini menunjukkan peningkatan minat terhadap pengalaman tempatan serta keindahan yang kurang dikunjungi di dalam negara.
Walaupun bandar-bandar utama kekal popular, destinasi yang kurang diterokai seperti Hulu Langat di Selangor dan Kinta di Perak semakin meraih momentum dengan kedua-duanya tersenarai dalam 10 bandar paling dikunjungi oleh rakyat Malaysia menerusi Airbnb pada 2024. Senario ini mencerminkan trend berterusan di mana pelancong giat mencari destinasi yang kurang diterokai dan berunsurkan alam semula jadi dalam negara.
Data Airbnb turut memberikan huraian lanjut tentang corak pelancongan dalam kalangan rakyat tempatan pada 2024, termasuk kecenderungan memilih destinasi berdekatan. Pada tahun lalu, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Australia merupakan destinasi luar negara paling popular dalam kalangan tetamu Malaysia Airbnb dari segi pelancongan antarabangsa.
Selain itu, data Airbnb menunjukkan Kuala Lumpur merupakan antara tiga bandar paling banyak ditempah di Asia Tenggara oleh tetamu antarabangsa Airbnb, bersama destinasi popular lain seperti Bangkok. Secara tidak langsung, reputasi Malaysia terus kukuh sebagai antara pemain utama dalam landskap pelancongan serantau.
“Saya berbesar hati melihat rakyat Malaysia terus meneroka dan meraikan kepelbagaian dalam negara sendiri. Peningkatan trend pelancongan domestik yang diterajui oleh generasi milenial mencerminkan peralihan ke arah pelancongan yang lebih bermakna, berhubung, dan fleksibel,” kata Ketua Negara bagi India dan Asia Tenggara, Amanpreet Bajaj.
-NIAGATIMES