Prestasi perdagangan Malaysia memulakan tahun 2026 dengan pencapaian memberangsangkan apabila jumlah perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan bagi Januari mencatatkan paras tertinggi pernah direkodkan untuk bulan berkenaan sejak 1990.
Jumlah perdagangan meningkat 12.6 peratus kepada RM272.37 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. Pencapaian itu dipacu pertumbuhan eksport dua angka sebanyak 19.6 peratus kepada RM146.87 bilion, sekali gus menandakan bulan ketujuh berturut-turut eksport berkembang. Import pula meningkat 5.3 peratus kepada RM125.50 bilion.
Lebihan dagangan terus mencatat momentum positif bagi bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020, berjumlah RM21.37 bilion, melonjak 483.9 peratus berbanding Januari 2025.
Dari segi pasaran, eksport berkembang dua angka ke hampir semua destinasi utama kecuali ASEAN. Secara keseluruhan, ASEAN, Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan menyumbang 68.2 peratus kepada jumlah eksport negara.
Eksport ke AS meningkat 33.9 peratus kepada RM23.1 bilion, nilai tertinggi bagi Januari, manakala China mencatat pertumbuhan 16.1 peratus kepada RM15.47 bilion. Taiwan pula melonjak 79.4 peratus kepada RM9.93 bilion, juga rekod bulanan tertinggi. Eksport ke ASEAN berkembang 7.1 peratus kepada RM39.42 bilion, disokong peningkatan penghantaran ke tujuh negara anggota.
Mengikut komposisi, produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal penyumbang terbesar dengan pegangan 48 peratus, selepas melonjak 39.5 peratus kepada RM70.53 bilion. Lonjakan itu sejajar peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor susulan perkembangan pesat aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan kitaran naik taraf teknologi.
Produk lain yang turut menyokong pertumbuhan termasuk peralatan optik dan saintifik (+36.2 peratus), makanan diproses (+16.5 peratus), kelengkapan pengangkutan (+13.8 peratus) serta jentera dan peralatan (+13 peratus).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian awal tahun itu mencerminkan daya tahan dan daya saing pengeksport Malaysia, khususnya dalam segmen semikonduktor termasuk litar bersepadu elektronik (IC).
Beliau berkata, prestasi kukuh sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi selari aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan aktiviti nilai tambah, inovasi serta pengukuhan rantaian bekalan.
Sepanjang 2026, MATRADE merancang melaksanakan 203 program berimpak tinggi bagi memperkasa lebih 13,400 syarikat, termasuk memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Eksport ke rakan FTA meningkat 14.5 peratus kepada RM95.22 bilion, menyumbang 64.8 peratus daripada jumlah eksport negara, didorong pertumbuhan ketara ke Mexico, Hong Kong, India, United Kingdom, Republik Korea dan New Zealand.
-NIAGATIMES






















































