Perfect Italiano jelajah bazar Ramadan, tawar hidangan keju percuma

Perfect Italiano melancarkan inisiatif Ramadan pertamanya menerusi pengenalan trak makanan bergerak yang menjelajah bazar Ramadan dan lokasi moreh terpilih di sekitar Lembah Klang, bermula 27 Februari hingga 12 Mac ini.

Menerusi program berkenaan, jenama keju popular itu menawarkan hidangan percuma berasaskan keju kepada pengunjung, sekali gus memperkenalkan cara penyediaan menu berbuka dan moreh yang lebih ringkas, praktikal dan menyelerakan.

Antara sajian yang diketengahkan sepanjang jelajah itu ialah Popia Big Mac, Bergedel Cheese serta Mac & Cheese, yang diolah menggunakan produk keluaran Perfect Italiano bagi memperkayakan rasa hidangan tempatan.

Menurut kenyataan syarikat, inisiatif berkenaan bukan sekadar bertujuan mengedarkan makanan, sebaliknya untuk merapatkan hubungan dengan komuniti setempat serta memberi inspirasi kepada keluarga menyediakan hidangan istimewa di rumah sepanjang Ramadan.

“Program ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong budaya kebersamaan, khususnya ketika bulan Ramadan, melalui sajian yang mudah disediakan tetapi berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.

Bagi memeriahkan lagi program, beberapa pempengaruh terkenal turut serta dalam jelajah berkenaan, antaranya Hazeman Huzir, Akiejack dan Mark Warn, yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung serta meningkatkan keterlibatan di media sosial.

Jelajah trak Perfect Italiano merangkumi beberapa lokasi utama, termasuk Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Baru Ampang, Taman Equine, Wangsa Maju, Subang Jaya USJ 4, Taman Seri Serdang, Taman Melawati, Downtown Jalan Reko dan Kelana Jaya, selain singgah di beberapa masjid terpilih untuk aktiviti moreh.

Antara masjid yang terlibat ialah Masjid Setia Alam, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan waktu edaran tertumpu pada sebelah petang dan malam.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan resipi hidangan melalui kod QR yang disediakan, bagi memudahkan mereka mencuba sendiri menu berasaskan keju di rumah.

Perfect Italiano memaklumkan bahawa program berkenaan tertakluk kepada tempoh aktiviti dan ketersediaan stok, serta mengalu-alukan orang ramai untuk hadir awal bagi mendapatkan hidangan percuma yang ditawarkan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual jelajah, waktu serta tarikh kemunculan pempengaruh disarankan mengikuti Dairylicious Malaysia menerusi Facebook, TikTok dan Instagram.

-NIAGATIMES

LMS-Perfect-Italiano.jpg