Pernas tawar RM4 juta untuk memperkukuh industri francais di Sarawak

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan pada tahun ini di Sarawak sebanyak RM4 juta dalam usaha memperkukuh industri francais di negeri Bumi Kenyalang.

Pernas menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang dan Sabah. Pada tahun lalu, sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program BizFrancais.

Pernas telah membiaya lebih daripada RM10 juta kepada usahawan Sarawak di mana lebih daripada 15 jenama francais dan pra-francais tempatan telah dibangunkan dengan bantuan Pernas sejak tahun 2004.

Program kolaborasi bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak ini merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2024. Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 di mana Pernas telah menganjurkan 20 siri program BizFrancais di pelbagai negeri termasuklah Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Bercakap ketika majlis perasmian Program BizFrancais Sarawak 2024, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat menyatakan, program BizFrancais Sarawak 2024 adalah program kerjasama pihak kementerian bersama Pernas saban tahun yang merupakan inisiatif berterusan pihak kerajaan negeri dalam memperkasa keusahawanan francais di negeri Sarawak selaras dengan matlamat kementerian dalam melahirkan usahawan belia unggul menjelang tahun 2030.

Manakala Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais, Mazlan Ibrahim menyatakan siri jelajah Program BizFrancais ini turut bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais di negeri Sarawak.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor KUSKOP, Chek Zainuddin Chek Jusoh; Timbalan Setiausaha Tetap MySED, Dolhadi Marzuki dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC, Nikk Adam Abdillah Kipalli.

-NIAGATIMES

pernas-biz.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.