Kerajaan Selangor menggalakkan lebih ramai rakyat dalam golongan B40 dan M40 di negerinya untuk menceburikan diri dalam perniagaan francais.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri melihat bahawa perniagaan francais merupakan salah satu platform perniagaan yang berpotensi untuk memberi sumbangan yang positif terhadap pemulihan dan pengukuhan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
“Sistem perniagaan francais adalah salah satu kaedah pengedaran produk dan perkhidmatan yang sistematik, mempunyai tahap pengurusan yang lebih efisyen serta produktiviti dapat ditingkatkan melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pengguna,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik (Jelajah F3M) Peringkat Negeri Selangor, baru-baru ini.
Program Jelajah F3M Selangor siri keempat merupakan program anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tahun ini.
Rodziah percaya penganjuran program seumpama ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan francais di negeri Selangor dengan adanya geran yang telah ditawarkan di bawah Program F3M, selain bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui skim HIJRAH Selangor, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan inisiatif tawaran ruang niaga oleh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Selangor.
KPDNHEP menyediakan dua jenis geran untuk program pembangunan francais mikro dan mampu milik, melibatkan peruntukan RM6 juta.
Fokus pemberian dua jenis geran itu adalah bagi meningkatkan bilangan usahawan francais daripada golongan B40 dan M40 melalui geran padanan yang ditawarkan, dan geran penuh untuk membantu usahawan membangunkan lebih banyak pakej francais bernilai RM100,000 dan RM50,000 ke bawah.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan perniagaan francais, boleh hubungi MFA di talian 03-6241 4141 atau layari laman sesawang di www.mfa.org.my.
-NIAGATIMES