Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan pengurangan harga bagi komponen penyelenggaraan terpilih serta caj buruh di pusat servis bertauliahnya dalam usaha membantu pelanggan berdepan peningkatan kos sara hidup.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata inisiatif yang bermula pada 19 Jun itu membolehkan pelanggan menikmati penjimatan keseluruhan sehingga 10 peratus bagi bil penyelenggaraan kenderaan mereka.
Beliau berkata tawaran berkenaan merangkumi kos alat ganti penyelenggaraan dan caj buruh yang berkaitan, sekali gus mengurangkan perbelanjaan pemilikan kenderaan bagi pengguna Perodua.
“Kami menggalakkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di pusat servis bertauliah Perodua bagi memastikan penggunaan alat ganti tulen yang dapat mengekalkan prestasi serta kebolehpercayaan kenderaan dalam jangka panjang.
“Kami berharap langkah ini dapat membantu mengurangkan kos mobiliti pengguna dan pada masa sama meningkatkan akses kepada perkhidmatan penyelenggaraan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kempen tersebut melibatkan semua model Perodua termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama syarikat itu, QV-E, meliputi pemeriksaan berkala, penggantian komponen serta kerja-kerja servis berkaitan.
Zainal berkata berdasarkan rekod syarikat, lebih lima juta kenderaan Perodua kini berada di jalan raya, manakala sebanyak 3.7 juta unit telah diselenggara di rangkaian pusat servis Perodua di seluruh negara sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata pengurangan harga itu turut didorong oleh peningkatan tahap lokalisasi dalam rantaian bekalan automotif syarikat yang membolehkan lebih banyak komponen dihasilkan dalam negara.
Menurutnya, kerjasama erat antara Perodua dan vendor tempatan telah meningkatkan keupayaan pengeluaran komponen domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi serta bekalan luar negara.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu melindungi peluang pekerjaan tempatan, malah mewujudkan rantaian bekalan yang lebih kukuh dan stabil untuk industri automotif negara,” katanya.
Beliau berkata usaha lokalisasi itu juga membolehkan Perodua meningkatkan ketersediaan stok alat ganti, khususnya komponen badan kenderaan, selain menyokong pembangunan QV-E sebagai model elektrik pertama syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, Perodua turut mengumumkan harga baharu bagi QV-E, yang kini ditawarkan pada harga RM93,999 untuk pemilikan penuh atau RM69,999 menerusi pilihan Battery as a Service (BAAS), dengan bayaran langganan bateri RM215 sebulan termasuk cukai selama sembilan tahun.
Bagi tempoh promosi sehingga 30 September 2026, pelanggan boleh memiliki QV-E pada harga RM87,499 bagi pemilikan penuh atau RM63,499 melalui pakej BAAS dengan kadar bayaran bulanan yang sama.
Pakej BAAS tersebut merangkumi perlindungan menyeluruh bateri, perkhidmatan penggantian dan pelupusan bateri serta perlindungan insurans sepanjang tempoh sembilan tahun.
-NIAGATIMES




















































