Persiapan APEC 2020: Malaysia sedia menyerlah

Selepas lebih dua dekad, Malaysia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020, dengan kemakmuran bersama menjadi mesej utamanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, mesej penting Malaysia itu akan meliputi semua bidang keutamaan dan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang APEC 2020.

“Kerjasama APEC adalah melangkaui liberalisasi perdagangan dan Malaysia akan memastikan rakyat dan keterangkuman menjadi asas kepada usaha untuk meningkatkan taraf hidup yang merupakan agenda utama APEC pasca 2020,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif mengenai persiapan APEC 2020.

Beliau berkata acara itu akan membuka peluang untuk Malaysia mempamerkan keunikannya dalam pelbagai sektor sebagai negara sedang pesat membangun kepada semua 20 negara anggota APEC dan betapa pentingnya Malaysia menjadi sebahagian APEC.

Pada acara itu nanti, beliau berkata Malaysia akan mempamerkan keunikannya dan usahanya dalam melaksanakan pendigitalan kepada lebih 16,000 perwakilan dan juga pelancong.

“Kami akan menunjukkan kepada mereka apa yang kita ada, apa kekuatan kita dan mengapa Malaysia harus menjadi destinasi perniagaan pilihan untuk semua,” katanya. – BERNAMA

Darell Leiking (Kredit foto MITI).jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.