Perubahan iklim uji ketahanan ekonomi dan infrastruktur Malaysia

Malaysia berdepan risiko besar terhadap kestabilan ekonomi dan kewangan susulan peningkatan kesan perubahan iklim yang semakin ketara, menurut laporan terbaharu Bank Dunia.

Menerusi Laporan Pembangunan dan Iklim Negara Malaysia (CCDR), Bank Dunia memaklumkan negara kini semakin terdedah kepada cuaca ekstrem, peningkatan suhu serta kenaikan paras laut yang memberi tekanan kepada infrastruktur, keterjaminan makanan dan produktiviti.

Menurut laporan itu, perubahan corak cuaca meningkatkan risiko bencana sekali gus menuntut langkah segera bagi memperkukuh daya tahan negara, termasuk melalui pengurusan air mampan, penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta pelaburan dalam infrastruktur tahan iklim.

“Dasar iklim yang bercita-cita tinggi mungkin memberi kesan sementara kepada daya saing, namun kegagalan melaksanakan penyahkarbonan akan membawa risiko lebih besar termasuk kemerosotan eksport dan kedudukan dalam rantaian bekalan global,” menurut laporan berkenaan.

Bank Dunia menegaskan tindakan segera amat diperlukan bagi memastikan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi tidak terjejas. Tanpa langkah penyesuaian, perubahan iklim berpotensi mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 16 peratus menjelang 2050, malah boleh melebihi 20 peratus sekiranya kejutan iklim berterusan.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyorot cabaran struktur ekonomi Malaysia yang masih bergantung kepada pemacu tradisional seperti tenaga buruh, pelaburan infrastruktur dan aliran masuk modal asing.

Menurutnya, kekangan seperti pelaburan rendah dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kekurangan tenaga mahir serta kebergantungan kepada industri nilai sederhana terus mengekang peningkatan produktiviti dan inovasi.

Sehubungan itu, Malaysia disaran merombak model pertumbuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada produktiviti, inovasi dan kelestarian, termasuk melaksanakan reformasi pasaran, menarik pelaburan teknologi baharu serta memperkukuh dasar perdagangan.

Bank Dunia turut menegaskan bahawa peralihan kepada ekonomi rendah karbon bukan sahaja penting dari segi strategi, malah mampu memberi manfaat kepada golongan rentan melalui peluang pekerjaan berkualiti, pengurangan kos sara hidup dan perlindungan sosial yang lebih baik.

Menurut laporan itu, kejayaan pelaksanaan dasar memerlukan komitmen berterusan, penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri serta kesungguhan menterjemahkan perancangan kepada tindakan nyata.

-NIAGATIMES

iklim-Malaysia-GAMBAR-HIASAN.png