Peruntukan RM230 juta: AIM sasar lebih 32,000 usahawan baharu wanita B40

Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM menyasarkan untuk melahirkan seramai 32,857 usahawan mikro baharu susulan peruntukan sebanyak RM230 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata dana tersebut akan digunakan secara strategik bagi meningkatkan penyertaan wanita B40 dalam aktiviti keusahawanan mikro di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

Daripada jumlah tersebut 60 peratus pembiayaan akan disalurkan kepada wanita luar bandar manakala 40 peratus lagi diperuntukkan kepada wanita bandar dalam kategori miskin katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata kemudahan pembiayaan antara RM10,000 hingga RM30,000 akan ditawarkan kepada golongan sasar dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun bagi memberi lebih fleksibiliti kepada penerima.

Menurutnya, peruntukan itu juga membolehkan AIM meluaskan jangkauan pembiayaannya serta menyokong matlamat kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat berpendapatan rendah khususnya wanita.

Dengan suntikan tambahan RM230 juta ini jumlah keseluruhan pembiayaan AIM bagi tahun 2026 dijangka meningkat kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.7 bilion pada tahun sebelumnya katanya.

Setakat ini AIM mempunyai seramai 320,000 Sahabat Usahawan Aktif di seluruh negara yang majoritinya menjalankan perniagaan kecil kecilan untuk menyara keluarga.

Shamir berkata, AIM turut memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan kira-kira 70 peratus usahawan wanita di bawahnya yang masih beroperasi secara tidak formal supaya beralih kepada perniagaan formal.

Dalam masa sama katanya pihaknya juga sedang melaksanakan inisiatif membimbing usahawan mikro ke arah mendapatkan pensijilan halal sebagai langkah memperkukuh daya saing produk tempatan di peringkat antarabangsa.

Peruntukan ini amat dinanti-nantikan oleh usahawan kecil kerana ia memberi suntikan semangat untuk mereka terus maju. Kadar bayaran balik pinjaman AIM yang mencecah 99.97 peratus juga membuktikan kebolehpercayaan dan daya tahan wanita usahawan negara ini katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1987 AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro dan membantu lebih sejuta wanita Malaysia keluar daripada kemiskinan.

Shamir turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan terhadap AIM termasuk pemberian bantuan segera RM10 juta RM100 juta dalam Belanjawan 2024 serta RM230 juta bagi tahun 2026 menjadikan jumlah keseluruhan RM340 juta dalam tempoh tiga tahun.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-AIM.jpg