Kerajaan bakal memulakan langkah-langkah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM66 bilion melibatkan perniagaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada Mei 2020 ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat empat lagi langkah utama melibatkan 25 peratus daripada keselurusan nilai pakej PRIHATIN akan dilaksanakan bermula 1 Mei mengikut jadual pelaksanaan yang telah dirancang.
“Salah satu langkah tersebut adalah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin yang bernilai RM50 bilion.
“Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Khidmat Rundingan Majikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion,” katanya dalam satu kenyataan ketika membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional PRIHATIN, hari ini.
Tambah beliau, suntikan RM4 bilion juga akan diberikan kepada projek kerajaan berskala kecil untuk memanfaatkan kontraktor kecil.
“Langkah terakhir, kerajaan akan mengagihkan peruntukan RM2.1 bilion bagi Geran PRIHATIN Khas untuk PKS mikro,” ujarnya.