Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan pendapatan dan keuntungan suku tahunan yang kukuh bagi suku kedua (2Q) 2021.
Prestasi yang didorong oleh lonjakan harga produk petrokimia turut disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan pemulihan dalam permintaan global yang kukuh.
Keuntungan Selepas Cukai (PAT) dicatatkan sebanyak RM1.9 bilion dalam tempoh berkenaan di mana sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan margin produk walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar akibat peningkatan semula wabak Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan.
Secara kumulatif, PAT meningkat kepada RM3.3 bilion pada separuh pertama (1H) 2021 berbanding RM678 juta pada tempoh sama tahun lalu.
PCG juga mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM1.84 bilion yang juga 55 peratus daripada PAT 1H 2021.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah berkata, kenaikan harga minyak mentah pada 2Q 2021, digabungkan dengan kenaikan permintaan petrokimia, telah mengukuhkan harga produk dan meningkatkan margin keuntungan.
“Berbanding tahun sebelumnya, harga polimer dan urea masing-masing meningkat sekitar 70 peratus dan 60 peratus, manakala harga ammonia dan metanol meningkat dua kali ganda,โ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Sazali, prestasi perolehan suku tahunan tertinggi Kumpulan yang dicatatkan itu menggembirakannya meskipun persekitaran kerja semakin mencabar disebabkan wabak Covid-19.
โModel perniagaan PCG yang menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial memastikan kami memperolehi peluang pasaran sambil mengharungi gangguan rantaian bekalan global.
โSebagai contoh, kami dapat mengoptimumkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan pelanggan walaupun sewaktu PCG sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori,” ujarnya.
-NIAGATIMES