PETRONAS Lubricants International (PLI) memperkenalkan rangkaian pelincir industri baharu, PETRONAS Pro Series, sebagai usaha mempertingkat kecekapan operasi global serta memudahkan pemilihan produk tanpa menjejaskan formulasi berprestasi tinggi yang telah dipercayai.
Pelancaran itu diumumkan dalam satu sesi libat urus perdagangan di sini, menandakan langkah penting syarikat dalam menyokong keperluan profesional industri yang menjadi tunjang kepada operasi sektor-sektor kritikal di seluruh dunia.
Rangkaian PETRONAS Pro Series menampilkan pendekatan berasaskan aplikasi, dengan produk disusun mengikut kategori kegunaan bagi membantu pelanggan memilih pelincir yang sesuai dengan lebih mudah dan tepat. Empat kategori utama diperkenalkan pada fasa awal ini meliputi pemampat, gris, transmisi dan sistem hidraulik.
Bagi kategori pemampat, PETRONAS ProKomp menawarkan minyak berketahanan tinggi yang direka untuk mengekalkan prestasi optimum serta rintangan haba dalam pemampat udara industri. PETRONAS ProGris pula menyediakan gris tugas berat yang mampu beroperasi dalam tekanan dan suhu ekstrem.
Sementara itu, PETRONAS ProGear memberi perlindungan unggul serta pemindahan kuasa yang lancar untuk kotak gear industri, manakala PETRONAS ProHyd direka khas untuk sistem hidraulik bertekanan tinggi bagi mengurangkan kehausan dan memastikan ketepatan operasi.
Pengarah Urusan Kumpulan Industri PLI, Udaya Kumar berkata pelancaran siri tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan sektor industri ke arah masa depan yang lebih cekap, boleh dipercayai dan mampan.
“Melalui penyusunan semula portfolio ini, rakan niaga kami dapat mengakses teknologi bertaraf dunia dengan lebih mudah, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada peningkatan operasi masing-masing,” katanya.
PETRONAS Pro Series turut melengkapkan portfolio pelincir sedia ada PLI yang merangkumi pelbagai segmen termasuk mobiliti, industri dan sistem tenaga masa depan menerusi jenama seperti PETRONAS Syntium, PETRONAS Sprinta, PETRONAS Urania, PETRONAS Iona, PETRONAS Arbor dan PETRONAS Tutela.
Kesemua produk dalam rangkaian baharu ini dipacu oleh teknologi proprietari PETRONAS Fluid Technology Solutions, yang dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan global serta kepakaran sukan permotoran selama beberapa dekad.
Teknologi berkenaan membolehkan inovasi yang digunakan dalam perlumbaan berprestasi tinggi diterapkan dalam aplikasi industri sebenar yang menuntut ketahanan dan kecekapan tinggi.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan secara berperingkat di peringkat global, PETRONAS Pro Series kini telah diperkenalkan di India dan Brazil, sekali gus membuka peluang kepada rakan niaga untuk menawarkan rangkaian produk itu kepada pelanggan masing-masing.
-NIAGATIMES





















































