Petrosains, The Discovery Centre menyambut ulang tahun ke-27 penubuhannya dengan penganjuran pelbagai aktiviti hujung minggu yang menggabungkan elemen sains, budaya dan pembelajaran, sempena Aidilfitri serta cuti sekolah.
Program yang berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini diadakan di Petrosains, Suria KLCC serta pusat Petrosains PlaySmart di Johor Bahru, Kuantan dan Kota Kinabalu, menyasarkan penyertaan seisi keluarga khususnya kanak-kanak melalui pengalaman interaktif dan menyeronokkan.
Antara tarikan utama ialah ‘Stamp Discovery Trail’ yang menampilkan tujuh stesen aktiviti di sekitar Petrosains, Suria KLCC. Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berunsur sains dan budaya, selain digalakkan mengenakan pakaian tradisional bagi menyemarakkan suasana Aidilfitri. Peserta yang berjaya melengkapkan kesemua stesen akan menerima hadiah khas berupa STEM Capsule sempena ulang tahun tersebut.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi dua aktiviti utama iaitu penebusan Stamp Rally di Suria KLCC serta sesi kuiz yang diadakan di semua lokasi terlibat. Hadiah yang ditawarkan termasuk barangan eksklusif seperti patung maskot, buku nota, pelekat, lencana dan botol minuman.
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian lain termasuk persembahan sains secara langsung, sesi beramah mesra bersama maskot, aktiviti pembuatan lencana serta tawaran promosi keahlian khas.
Dalam pada itu, pengunjung juga boleh menikmati promosi istimewa di XPLORASI – Petrosains Gift Shop, di mana 27 pelanggan terawal setiap hari yang membuat pembelian akan menerima token eksklusif ulang tahun yang mengandungi barangan alat tulis.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, sepanjang 27 tahun penubuhannya, Petrosains terus memainkan peranan dalam memupuk minat masyarakat terhadap sains dan inovasi.
“Pada musim perayaan ini, kami mengalu-alukan kehadiran keluarga untuk bersama-sama menikmati pengalaman pembelajaran yang menghiburkan dan bermakna,” katanya.
Sambutan kali ini turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk institusi seni, hospitaliti dan jenama tempatan yang menyumbang kepada pengisian aktiviti yang lebih menyeluruh.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Petrosains dalam menjadikan sains lebih mudah diakses serta relevan kepada masyarakat, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti pembelajaran bersama.
-NIAGATIMES






















































