Pgeon Express mulakan pelan strategik, ambil alih aset CJ Logistics Express

Pgeon Express Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh EasyParcel Sdn Bhd mengumumkan pemeteraian satu perjanjian pembelian aset dengan CJ Logistics Express Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kiriman cepat.

Dalam perjanjian ini, Pgeon akan memperoleh 326 buah kenderaan komersial yang sebahagian besarnya merupakan trak 1 tan pada satu harga yang tidak didedahkan, mengambil alih sebahagian daripada cawangan-cawangan CJ Logistics dan menawarkan pekerjaan baharu kepada pekerja-pekerja CJ Logistics yang terpilih.

Pgeon Express berkata, pembelian aset ini dijangka diselesaikan menjelang hujung 2021.

“Pembelian aset daripada CJ Logistics dijangka akan meningkatkan kapasiti kutipan dan penghantaran Pgeon sehingga 5 kali ganda.

“Pgeon juga akan berupaya memenuhi kenaikan permintaan daripada para pelanggannya kerana ia menjangkakan akan mencapai sasaran untuk menguruskan 100,000 bungkusan sehari menjelang pertengahan tahun depan.

“Selain pembelian aset, Pgeon turut meningkatkan kemampuan operasinya dengan membeli lebih banyak trak, mengembangkan tenaga kerjanya, dan melabur dalam automasi serta digitalisasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam tempoh beroperasi kurang dari lima tahun, Pgeon telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah syarikat perkhidmatan serahan dan kutipan layan diri yang terkemuka di Malaysia, menerusi penawaran perkhidmatan hantaran cepat pada kos yang rendah kepada pelanggan-pelanggannya.

Syarikat ini telah membina reputasi yang sangat baik di kalangan pelanggan-pelanggannya kerana kejayaannya dalam memudahkan proses penghantaran bungkusan.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pgeon Express, Clarence Leong berkata, pihaknya amat teruja dengan pelbagai kemungkinan daripada tawaran pengambilalihan ini kerana ia menjana nilai buat pemegang-pemegang saham dan pihak-pihak berkepentingan.

“Ia juga membuat ruang untuk merancang pertumbuhan syarikat kami secara strategik sekali gus mengukuhkan kedudukan Pgeon.

“Selain itu, pembelian aset ini akan menguatkan lagi usaha-usaha syarikat bagi membina asas yang kukuh untuk memacu peluasan syarikat di rantau ini,” jelasnya.

-NIAGATIMES

EasyParcel-Clarence-Leong-CEO-Founder-of-EasyParcel-Pgeon-Express.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.