PKNS PLUS Mesti Beli lepasi sasaran jualan

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya meraih jualan sebanyak RM37.8 juta pada kempen PKNS PLUS Mesti Beli yang diadakan pada 28 dan 29 Ogos lalu.

Dengan menyasarkan 27 unit hartanah, PKNS berjaya menjual sebanyak 68 unit sepanjang tempoh kempen berlangsung dan melepasi sasaran jualan sebanyak 158 peratus.

Antara projek yang mendapat sambutan paling menggalakkan ialah Puteri Elaisha di Kota Puteri, Taman Sijangkang Jaya di Sijangkang dan pangsapuri Selangorku di Cyberjaya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon, kejayaan kempen program PKNS PLUS Mesti Beli ini adalah hasil rancangan taktikal yang rapi daripada unit jualan PKNS di samping pelbagai tawaran dan insentif hebat yang diberikan kepada semua pembeli hartanah PKNS.

“Selain itu, faktor sokongan lain seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan diskaun sehingga 20 peratus juga turut menyumbang kepada kejayaan kempen ini.”

“Pencapaian ini dikira kejayaan berganda bagi kempen PKNS PLUS Mesti Beli kerana PKNS PLUS Siri 1/2021 berjaya mencapai nilai jualan secara keseluruhan lebih RM50 juta yang melibatkan 102 unit di mana peratus pencapaian adalah 151 peratus,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, strategi jualan dan pemasaran PKNS dalam menawarkan produk yang mesra pengguna selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga yang tepat terbukti berkesan.

“Kejayaan berganda ini telah membuktikan produk hartanah PKNS masih menjadi pilihan pelanggan dan mempunyai nilai jual yang tinggi dari segi lokasi dan kemudahan sekitar.”

Menurutnya, PKNS meramalkan permintaan untuk produk hartanah miliknya akan terus meningkat berdasarkan kepada trend pembelian pelanggan sepanjang tahun ini.

PKNS PLUS Mesti Beli merupakan kempen jualan hartanah untuk orang awam memiliki hartanah PKNS dengan rebat dan diskaun eksklusif khas untuk pembeli pada waktu promosi.

Bukan itu sahaja, penganjuran program kali ini juga adalah bersempena Ulangtahun PKNS ke-57 dan bulan kemerdekaan yang disambut pada bulan Ogos lepas.

-NIAGATIMES

PKNS-PLUS-Mesti-Beli.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.