Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memakan masa cukup lama dengan kini menjangkau selama dua bulan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang usahawan wanita. Manakan tidak, tugasan harian yang serba mencabar menguruskan perniagaan kini bertambah pula dengan komitmen keluarga di rumah.
PKP mendesak mereka untuk melakukan dua tanggungjawab di tempat yang sama, di rumah. Jika tidak kena pada situasinya, boleh jadi huru-hara dibuatnya! Ibarat tidak menang tangan, seseorang usahawan wanita itu perlu bijak menyusun jadual agar tiada gangguan semasa dapat merencatkan jadual rutin yang disusun dengan normal baharu.
Maka, selayaknya itulah para usahawan wanita ini tepat dilabel sebagai ‘superwoman’!
Dalam perkongsian bersama THOUGHTS atau Tinta Minda di Bernama.com, Pengarah Urusan Madcat World Sdn Bhd, Nuraizah Shamsul Baharin berkongsi pendapat mengenai betapa sibuk dirinya menjalankan perniagaan sambil menjaga setiap ahli keluarga, menguruskan pembelajaran anak-anak di rumah, membuat kerja-kerja rumah dan pada masa yang sama menyertai mesyuarat Zoom dan mendapatkan keperluan runcit.
“Saya masih ingat sewaktu minggu pertama bekerja dari rumah. Sebagai wanita Asia, kita telah dibiasakan untuk membuat kerja-kerja rumah sebagai peranan utama kita di rumah.
“Saya tidak boleh berhenti daripada membersihkan rumah. Perkara itu telah menjadi obsesi memandangkan saya tidak lagi boleh memanggil tukang cuci ke rumah saya,” katanya kepada Bernama.
Tambah Nuraizah, dia turut melalui normal baharu bersama kakitangannya apabila kini sekadar melakukan tugasan di rumah.
“Begitulah kenyataan norma baharu yang kedua iaitu pejabat sebenarnya adalah tempat di mana kita bersosial sebagai seorang manusia.
“Interaksi ini masih diperlukan oleh pengaturcara muda yang berasa kehilangan tanpa mentor yang memimpin,” katanya.
Ikuti pandangan penuh Nuraizah ini melalui pautan di www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=1842600 .