Penyertaan empat buah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan yang bernaung di bawah Malaysia Pavilion pada Pameran Udara Antarabangsa Paris 2019 dijangka berupaya meraih potensi jualan sebanyak RM20 juta melalui sesi padanan perniagaan bersama beberapa syarikat gergasi aeroangkasa terkemuka dunia.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang kini mengadakan lawatan kerja di ibu negara Perancis itu berkata, sasaran jumlah jualan berkenaan mampu diraih berikutan persetujuan rakan bidang aeroangkasa antarabangsa lain yang telah mengadakan rundingan.
“Jualan berpotensi sebanyak RM20 juta telah dirundingkan antara PKS yang mengambil bahagian di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dengan rakan kongsi antarabangsa yang mencari peluang serta sumber dari luar.
“Empat PKS tempatan yang terlibat ialah Curge Advance Sdn Bhd, Jecmetal Industries Sdn Bhd, JWR Industries Sdn Bhd dan Venture Die Casting Sdn Bhd,” katanya.
Dalam kenyataan semalam, MED memaklumkan bahawa penyertaan syarikat-syarikat PKS tersebut telah mendapat minat dan banyak pertanyaan oleh kedua-dua pemain aeroangkasa domestik dan asing dari United Kingdom, Perancis dan Jepun untuk potensi usaha sama, integrasi ke rantaian bekalan aeroangkasa dan perkongsian pengalaman teknologi dalam fasa pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta pengkomersialan, terutamanya dalam pembuatan dan penyelenggaraan aeroangkasa, pembaikan dan overhaul (MRO).