Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terus menunjukkan potensi memberangsangkan di dalam industri halal apabila mendominasi jumlah keseluruhan bagi sumbangan terhadap eksport halal negara dengan catatan melebihi 70 peratus untuk tahun lepas.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, jumlah eksport negara sebanyak RM986.4 bilion pada tahun lepas menyaksikan industri halal telah menyumbang sebanyak 4.1 peratus iaitu RM40.2 bilion.
“Ini bermakna potensi industri halal masih mempunyai ruang cukup besar. Untuk 2019, Malaysia merekodkan sejumlah 1,876 syarikat pengeksport produk halal. Bagaimanapun, 1,430 syarikat atau 76.2 peratus adalah dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.
Tambah Azmin, kementeriannya kini giat memantau perkembangan PKS terlibat dan beberapa strategi pemerkasaan juga sedang dilaksanakan bagi merancakkan serta memperhebatkan lagi potensi mereka.
“Ini termasuklah memperkukuhkan institusi ekosistem halal negara, meningkatkan nilai dagangan dan daya saing industri melalui pertumbuhan sektor berpotensi tinggi dan berkaitan, meningkatkan jumlah tenaga mahir dan profesional tempatan serta menggalakkan aktiviti pengkomersialan produk halal melalui penerimaan teknologi tinggi dan inovasi,” jelasnya.
-NIAGATIMES