Golongan majikan yang terlibat dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kemudahan Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) bermula esok.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PKS yang berdaftar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) layak memohon inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) tersebut dengan antara kemudahan yang disediakan adalah penangguhan caruman KWSP majikan.
“Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan.
“Kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 bilion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan sewaktu membentangkan Laporan Kedua Pelaksanaan PRIHATIN di Putrajaya, kelmarin.