PKS@BURSA dilancar, bantu syarikat tempatan akses pasaran modal

Kerajaan memperuntukkan RM50 juta sehingga 2030 menerusi Program PKS@BURSA yang dilancarkan hari ini bagi membantu 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan untuk melangkah ke pasaran modal dan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif yang diterajui SME Corp. Malaysia itu diwujudkan bagi menyediakan laluan yang lebih sistematik kepada PKS berpotensi tinggi untuk mengembangkan perniagaan serta memperoleh akses kepada modal pertumbuhan.

Beliau berkata, program berkenaan dirangka bagi menangani dua cabaran utama yang sering dihadapi syarikat yang sedang berkembang, iaitu kos persediaan penyenaraian dan keperluan meningkatkan kapasiti serta keupayaan sebelum memasuki pasaran modal.

“Melalui PKS@BURSA, kerajaan mahu memperkukuh saluran pembangunan syarikat tempatan agar lebih ramai PKS mampu berkembang, memperluaskan operasi dan seterusnya bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya ketika berucap pada program ‘Road to IPO’ anjuran Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad di Sasana Kijang, hari ini.

Jelas Steven Sim, syarikat yang berjaya menyertai program itu dan disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun layak menerima rebat sehingga 20 peratus, sekali gus membantu mengurangkan kos berkaitan proses penyenaraian.

Program PKS@BURSA merangkumi dua komponen utama iaitu Dana Penyenaraian PKS dan Program Pembangunan Kapasiti serta Keupayaan PKS.

Menerusi Dana Penyenaraian PKS, syarikat yang layak boleh memperoleh pembiayaan antara RM2 juta hingga RM5 juta pada kadar keuntungan lima peratus setahun untuk tempoh sehingga lima tahun. Pembiayaan itu boleh digunakan bagi tujuan modal kerja, perbelanjaan modal dan keperluan korporat berkaitan persediaan penyenaraian.

Sementara itu, Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan PKS menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk latihan berstruktur, seminar, bengkel, program jelajah serta bimbingan secara individu bersama penasihat penyenaraian, juruaudit, ejen cukai dan pakar tadbir urus korporat.

Program tersebut turut memberi penekanan kepada aspek tadbir urus, pematuhan serta kesiapsiagaan pasaran modal menerusi kerjasama dengan CGC, Bursa Malaysia dan rakan ekosistem berkaitan.

Tambah Steven Sim, syarikat yang ingin menyertai program itu perlu mempunyai penarafan SCORE sekurang-kurangnya tiga bintang oleh SME Corp. Malaysia, kedudukan kewangan yang kukuh dan stabil serta menunjukkan komitmen untuk meneruskan proses penyenaraian.

Beliau turut menghargai peranan CGC dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan perusahaan, khususnya dalam membantu syarikat yang sedang berkembang mengatasi kekangan mendapatkan pembiayaan sebelum memasuki pasaran modal.

Setakat ini, katanya, CGC telah meluluskan pembiayaan berjumlah kira-kira RM300 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat tempatan dan meningkatkan daya saing mereka dalam usaha menuju penyenaraian.

Menurut beliau, pelaksanaan PKS@BURSA sejajar dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal negara serta memperluaskan akses kepada pembiayaan pertumbuhan bagi perusahaan tempatan.

“Malaysia mempunyai ramai usahawan dan perniagaan yang berpotensi. Tumpuan kini adalah membantu lebih banyak syarikat meningkatkan nilai tambah, muncul sebagai juara nasional dan bersaing pada tahap lebih tinggi.

“Matlamat kita bukan sekadar menambah bilangan syarikat tersenarai, sebaliknya melahirkan lebih banyak syarikat yang benar-benar bersedia dan berkeupayaan untuk disenaraikan,” katanya.

-NIAGATIMES

Steven-Sim-PKS-BURSA.jpeg