Webull Securities Malaysia Sdn Bhd (Webull Malaysia), mengumumkan pelancaran platform dagangan global terkemuka, Webull, di Malaysia.
Direka untuk pelabur dari semua peringkat, Webull Malaysia memberikan akses untuk mendagangkan saham di Bursa Securities dan Bursa Derivatives serta saham yang disenaraikan di US dan dana dagangan bursa (ETF) melalui aplikasi Webull Malaysia.
Pada bulan April, Webull Malaysia memperoleh Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk Berurus Niaga dalam Sekuriti (terhad kepada sekuriti tersenarai) dan Berurus Niaga dalam Derivatif.
Webull Malaysia memasuki pasaran tempatan seiringan dengan usaha Bursa Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan dan penyertaan daripada pelabur runcit, terutamanya generasi muda, di bursa saham tempatan.
Platform dagangan Webull Malaysia dibina berdasarkan infrastruktur global generasi terkini dan teknologi proprietari. Ia menawarkan ‘suite’ bersepadu sebut harga masa nyata, maklumat pasaran, berita kewangan, data industri, pandangan dan penarafan penganalisis, semuanya daripada sumber yang dipercayai melalui satu titik sentuh untuk membantu pelabur membuat keputusan termaklum.
Di samping itu, Webull Malaysia juga menyediakan penunjuk Syariah untuk membantu pelabur mengenal pasti status pematuhan Syariah bagi saham sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Kami teruja untuk memperkenalkan platform pelaburan digital Webull yang berteknologi maju kepada komuniti pelabur yang semakin meningkat di Malaysia. Pengembangan platform Webull ke Malaysia memberikan peluang yang sama kepada semua pelabur, tanpa mengira pengalaman pelaburan atau dagangan mereka.
“Demi menjadikan pelaburan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua pelabur, Webull Malaysia memperkenalkan alat terbaik dan maklumat untuk memperkasakan pelabur dari semua peringkat dengan pengetahuan dan kemahiran supaya mereka boleh membuat keputusan pelaburan yang lebih baik dan mencapai matlamat pelaburan mereka,” kata Kenneth Chan, Ketua Pegawai Eksekutif, Webull Malaysia.
-NIAGATIMES