Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkasa sosioekonomi golongan wanita, warga emas, golongan 40 peratus pendapatan rendah negara (B40) dan orang kelainan upaya (OKU) melalui bidang keusahawanan.
MEDAC dalam kenyataan berkata, antara inisiatif yang menjadi fokus utama dalam merealisasikan matlamat tersebut adalah dengan memastikan platform francais dan koperasi digunakan secara optimum bagi membantu usahawan dalam golongan sasar ini.
“Platform ini berupaya menyediakan pakej fasilitasi keusahawanan secara menyeluruh merangkumi aspek penjenamaan, pemasaran serta pembiayaan produk dan perkhidmatan usahawan.
“Tambahan pula, platform koperasi dan francais ini dilihat berupaya menjadi platform yang efektif dan efisien dalam menyalurkan bantuan dan bimbingan kepada usahawan yang terlibat,” katanya.
Tambah MEDAC, kerjasama kedua-dua kementerian turut bersetuju untuk melaksanakan 13 bidang kerjasama strategik meliputi aspek latihan dan bimbingan, pembiayaan, akses pasaran dan perkongsian data, seperti berikut:
1. Latihan dan bimbingan kepada peserta 2 Years Exit Programme (2YEP) 2.0;
2. INSKEN Business Coaching (IBC) dalam bidang Post-Natal Care;
3. Latihan dan persijilan bertauliah dalam bidang Elderly Care;
4. Pemerkasaan Latihan dan Bimbingan dalam bidang Child Care;
5. Khidmat Nasihat mengenai program-program keusahawanan KPWKM;
6. Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE);
7. Program pembangunan usahawan wanita dan pembiayaan perniagaan;
8. Program Francais MamaCare;
9. Program Succesful Women Entrepreneur Engagement Talents (SWEET);
10. Menggalakkan Penubuhan Koperasi Wanita dan galakan penyertaan wanita dalam koperasi;
11. Memperkasa ekosistem pemasaran sedia ada melalui koperasi;
12. Padanan perniagaan di antara usahawan wanita dan koperasi sedia ada; dan
13. Perkongsian data usahawan wanita, B40 dan OKU
“Kesemua cadangan kerjasama strategik ini akan dimuktamadkan melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) oleh kedua-dua kementerian,” ujarnya.
-NIAGATIMES